Pages

Wednesday 30 October 2013

HARAPAN BANGSA

Mahasiswa Kreatif, Kompetitif dan Komprehensif

Jika disingkap kehidupan sebagai seorang mahasiswa, pasti ramai yang menyatakan bahawa peranan dalam memikul tanggungjawab sebagai penuntut ilmu bukan satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran dan dugaan harus dihadapi dengan tabah demi menggalas cita- cita dan harapan ayah dan bonda.
Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan, mahasiswa kini perlu berjiwa kental dalam mengharungi apa jua kesukaran dari segi fizikal mahupun mental kerana mahasiswa adalah tonggak kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berkualiti dan berwawasan.
Setelah lebih 55 tahun menghirup udara kemerdekaan, mahasiswa yang merupakan bakal tunjang negara semakin matang dalam tindakan mahupun pemikiran. Ternyata, mahasiswa di negara ini telah mengalami anjakan paradigma yang selaras dengan arus pembangunan intelek dan teknologi.
Bergerak ke arah dunia globalisasi hari ini, pentadbiran sesebuah negara dalam menuju wawasan masa depan memerlukan pemuda terutamanya golongan mahasiswa yang berdaya saing, intelektual tinggi, kreatif dan inovatif.
Demi memastikan tercetusnya sebuah negara yang hebat dan maju memerlukan masyarakat hari ini lebih berani untuk tampil dengan pelbagai idea yang lebih baru dan segar.
Menurut kata mutiara saujana, “ Jika mahu melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada masa ini”. Presiden Soekarno juga pernah mengungkap, “”Berteman seribu orang pemuda yang gagah, aku mampu memecahkan Gunung Semeru namun dengan hanya sepuluh orang pemuda yang bersifat kreatif dan inovatif aku mampu menggoncang dunia”.  Jelaslah bahawa, kepimpinan generasi muda yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa dalam menerajui negara.
Jika dilihat dari sudut kreativiti dan inovasi pula, mahasiwa kini mampu membawa satu arus perubahan baru dalam melaksanakan visi dan misi yang digalas selaras dengan arus kemodenan negara. Aktiviti yang disertai seperti kelab dan persatuan di universiti mahupun di peringkat global berjaya menarik minat mahasiswa untuk memperkenalkan dan berkongsi idea dalam menyelesaikan sesuatu maslahat.
Justeru, dengan adanya penglibatan aktif mahasiswa dalam program yang dianjurkan sudah pasti akan mewujudkan masyarakat yang lebih berfikiran kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi dek kerana akal yang sentiasa aktif dalam mengutarakan pemikiran yang bernas.
Ketandusan idea dan kekeringan ilham dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi merupakan satu ‘malapetaka’ kepada sesebuah negara. Pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan sekiranya minda pemimpin atau mahasiswa tersekat dan tidak berkembang. Hasilnya, pentadbiran negara akan lumpuh seterusnya membawa kepada keruntuhan negara dan bangsa.
Pembentukan mahasiswa yang kompetitif dan berkualiti adalah tidak mustahil akan tetapi ianya bukan satu perkara yang mudah untuk digapai. Dengan kemajuan ekonomi dan teknologi yang semakin pesat, mahasiswa seolah-olah mudah hanyut di buai mimpi dan angan-angan kosong. Mentaliti mahasiswa yang semakin layu akan mendatangkan implikasi buruk kepada negara.
Untuk terus ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan negara maju, mahasiswa Malaysia seharusnya dipupuk dengan semangat berdaya saing dan kompetitif. Wadah ini merupakan pilihan yang terbaik dalam memastikan transformasi negara menemui titik realiti.
Program yang dianjurkan di peringkat universiti mahupun antarabangsa mampu melahirkan mahasiswa holistik berpaksikan hala tuju negara. Melibatkan diri dalam program sebegini merupakan satu perkara yang mudah yang boleh dilakukan oleh semua individu. Dengan satu azam dan keyakinan, mahasiswa mampu mengubah dunia.
Mahasiswa yang mempunyai fikiran yang matang jauh ke hadapan terhadap diri mahupun orang lain bukan sekadar dapat meningkatkan daya intelektual, menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan martabat diri seseorang tetapi salah satu implikasi positif daripada pemikiran ini ialah membantu seseorang itu untuk membezakan yang baik dan buruk. Kebijaksanaan dalam membuat perbandingan adalah perlu bagi seseorang mahasiswa untuk mengecap kehidupan yang lebih baik.
Kesilapan ketika percaturan dalam sesuatu keputusan terhadap diri sendiri dan orang lain akan mengundang ke arah perkara yang negatif. Melalui perwatakan yang positif dan komprehensif membantu mahasiswa untuk membuat penilaian melalui pemikiran yang lebih terbuka dan kritis sewaktu menghadapi krisis.
Tuntasnya, dalam dunia hari ini menuntut segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan  mahasiswa untuk mempersiapkan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu supaya tidak ketinggalan dari persaingan. Pemupukan generasi mahasiswa yang kreatif, kompetitif dan komprehensif harus diteruskan dengan lebih agresif di peringkat universiti dan antarabangsa supaya pendedahan demi pendedahan mengenai arus dunia ini dapat dipelajari seiring dengan visi dan misi negara Malaysia.  #


0 comments:

Post a Comment