Jika disingkap kehidupan sebagai seorang mahasiswa, pasti
ramai yang menyatakan bahawa peranan dalam memikul tanggungjawab sebagai
penuntut ilmu bukan satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran dan dugaan harus
dihadapi dengan tabah demi menggalas cita- cita dan harapan ayah dan bonda.
Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan, mahasiswa
kini perlu berjiwa kental dalam mengharungi apa jua kesukaran dari segi fizikal
mahupun mental kerana mahasiswa adalah tonggak kepada pembinaan sebuah
masyarakat yang berkualiti dan berwawasan.
Setelah lebih 55 tahun menghirup udara kemerdekaan,
mahasiswa yang merupakan bakal tunjang negara semakin matang dalam tindakan
mahupun pemikiran. Ternyata, mahasiswa di negara ini telah mengalami anjakan
paradigma yang selaras dengan arus pembangunan intelek dan teknologi.
Bergerak ke arah dunia globalisasi hari ini, pentadbiran
sesebuah negara dalam menuju wawasan masa depan memerlukan pemuda terutamanya golongan
mahasiswa yang berdaya saing, intelektual tinggi, kreatif dan inovatif.
Demi memastikan tercetusnya sebuah negara yang hebat dan
maju memerlukan masyarakat hari ini lebih berani untuk tampil dengan pelbagai
idea yang lebih baru dan segar.
Menurut kata mutiara saujana, “ Jika mahu melihat masa
hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada masa ini”. Presiden Soekarno
juga pernah mengungkap, “”Berteman seribu orang pemuda yang gagah, aku mampu
memecahkan Gunung Semeru namun dengan hanya sepuluh orang pemuda yang bersifat
kreatif dan inovatif aku mampu menggoncang dunia”. Jelaslah bahawa, kepimpinan generasi muda yang
berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa dalam menerajui
negara.
Jika dilihat dari sudut kreativiti dan inovasi pula, mahasiwa
kini mampu membawa satu arus perubahan baru dalam melaksanakan visi dan misi
yang digalas selaras dengan arus kemodenan negara. Aktiviti yang disertai
seperti kelab dan persatuan di universiti mahupun di peringkat global berjaya
menarik minat mahasiswa untuk memperkenalkan dan berkongsi idea dalam
menyelesaikan sesuatu maslahat.
Justeru, dengan adanya penglibatan aktif mahasiswa dalam
program yang dianjurkan sudah pasti akan mewujudkan masyarakat yang lebih
berfikiran kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi dek kerana akal
yang sentiasa aktif dalam mengutarakan pemikiran yang bernas.
Ketandusan idea dan kekeringan ilham dalam menyelesaikan
kemelut yang dihadapi merupakan satu ‘malapetaka’ kepada sesebuah negara.
Pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan sekiranya minda pemimpin atau
mahasiswa tersekat dan tidak berkembang. Hasilnya, pentadbiran negara akan
lumpuh seterusnya membawa kepada keruntuhan negara dan bangsa.
Pembentukan mahasiswa yang kompetitif dan berkualiti
adalah tidak mustahil akan tetapi ianya bukan satu perkara yang mudah untuk
digapai. Dengan kemajuan ekonomi dan teknologi yang semakin pesat, mahasiswa
seolah-olah mudah hanyut di buai mimpi dan angan-angan kosong. Mentaliti mahasiswa
yang semakin layu akan mendatangkan implikasi buruk kepada negara.
Untuk terus ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah”
dengan negara maju, mahasiswa Malaysia seharusnya dipupuk dengan semangat
berdaya saing dan kompetitif. Wadah ini merupakan pilihan yang terbaik dalam
memastikan transformasi negara menemui titik realiti.
Program yang dianjurkan di peringkat universiti mahupun
antarabangsa mampu melahirkan mahasiswa holistik berpaksikan hala tuju negara.
Melibatkan diri dalam program sebegini merupakan satu perkara yang mudah yang
boleh dilakukan oleh semua individu. Dengan satu azam dan keyakinan, mahasiswa
mampu mengubah dunia.
Mahasiswa yang mempunyai fikiran yang matang jauh ke
hadapan terhadap diri mahupun orang lain bukan sekadar dapat meningkatkan daya
intelektual, menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan martabat diri seseorang
tetapi salah satu implikasi positif daripada pemikiran ini ialah membantu
seseorang itu untuk membezakan yang baik dan buruk. Kebijaksanaan dalam membuat
perbandingan adalah perlu bagi seseorang mahasiswa untuk mengecap kehidupan
yang lebih baik.
Kesilapan ketika percaturan dalam sesuatu keputusan
terhadap diri sendiri dan orang lain akan mengundang ke arah perkara yang
negatif. Melalui perwatakan yang positif dan komprehensif membantu mahasiswa
untuk membuat penilaian melalui pemikiran yang lebih terbuka dan kritis sewaktu
menghadapi krisis.
Tuntasnya, dalam dunia hari ini menuntut segenap lapisan
masyarakat terutamanya golongan
mahasiswa untuk mempersiapkan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu
supaya tidak ketinggalan dari persaingan. Pemupukan generasi mahasiswa yang
kreatif, kompetitif dan komprehensif harus diteruskan dengan lebih agresif di
peringkat universiti dan antarabangsa supaya pendedahan demi pendedahan
mengenai arus dunia ini dapat dipelajari seiring dengan visi dan misi negara
Malaysia. #